Welcome To Neutral Nature

Tuesday, April 26, 2011

Ku Terima...

Redha dengan ketentuan-Nya
Di situlah terletaknya ketenangan jiwa
Ikhlaskan hati dalam setiap perkara
Di situlah terletaknya kesejahteraan hati kita

Biarpun kepahitan yang dirasa
Biarpun kesulitan yang dialami
Redha dan ikhlas ku terima
Percaya dan yakin ku serahkan diri
Hanya padamu Illahi..

Dengan ini hati merelakan..
Biarkan kesangsian, kegusaran, kekacauan jiwa melangkah meninggalkan diri ini
Biarkan ia berlalu pergi daripada relungan hati kecilku ini
Biarkan ia pergi tanpa menoleh lagi
Biarkan ia pergi..

Hapuskan segala rasa yang merantai ketenangan jiwa nurani
Hapuskan segala rasa yang membelenggu kotak fikiran ini
Kurniakanlah diri ini ketenangan yang abadi
Ketenangan yang menjadi impian setiap insani

Yang berlalu biarlah berlalu
Yang terkini harus dijalani
Yang akan tiba jauhkanlah daripada hiba


*Kutemui bahagia bersama ketenangan kurniaan-Nya*


***************************************************

Sesungguhnya ku terima..
Biarpun perjuangan baru sahaja bermula..

Baru sahaja memulakan first paper tanggal 26 April 2011 dengan paper yang bernama spektrokimia @ chemical spectroscopy.. Masih mempunyai empat paper lagi untuk dihadapi sehingga tamatnya perjuangan ini pada sebelah petang 8 Mei 2011.. Walau apapun yang dirasa pada hari ini, jangan pula dilupakan apa yang akan ditempuhi pada hari yang mendatang.. Perjuangan harus diteruskan hingga ke akhirnya.. Don't be give up ya! Insya-Allah.. We can do it! Then when you have take a decision, put your trust in Allah..

- Final exam semester 4 -

Sunday, April 10, 2011

'Dia' Datang Lagi!

'dia' meresahkan jiwa yang telah sedia gundah gulana
'dia' menyesakkan fikiran yang senantiasa memikirkan
Di sebalik keresahan pasti ada kedamaian
Di sebalik kekalutan pasti ada ketenangan

Kadang ku hampir berputus asa untuk menghadapi 'dia'
Kadang ku rasa cemas yang tiada hentinya apabila hampir saat berhadapan dengan 'dia'
Namun ku sedar 'dia' harus jua ku tempuhi walau tanpa kerelaan
Namun ku tahu kepentingan 'dia' untukku demi masa depan
Ku harus mempersiapkan diri agar 'dia' tidak ku sia-siakan
Ku harus merancang kini sekiranya kebahagiaan bersama 'dia' ku harapkan

'dia' bakal membawa sinar bahagia dalam hidupku
'dia' juga bakal menghurung derita pada diriku
Bahagia atau derita.. yang mana menjadi pilihan kalbu
Terpulang pada diriku..

-Gagal merancang bermakna kita merancang untuk gagal-

**************************************************

Semangatku kian luntur
Keyakinanku kian pudar
Diriku seolah tiada sedar
Dek kerana kerinduan pada tempat bersandar

Tumpuanku melayang entah ke mana
Di saat hati dihambat rindu
Rindu pada ayah dan bonda
Menguatkan rasa ingin bertemu

Nampaknya tanda-tanda demam exam sudah mula bertapak..
Menjadi suatu kemestian pada orang yang menaip ni untuk pulang ke rumah..

Bayangkan, fokus tiada.. umpama tiada bermaya.. sehingga tiada apa yang dapat dilakukan selain hanya termenung mengenang kampung halaman dari kejauhan..

Jelas diri ini mengalami penyakit 'homesick'.. bahaya kalau dibiarkan tambah-tambah lagi final exam dah semakin hampir di garisan permulaan..
Penyelesaiannya cuma satu >> jom kita balik rumah!

Pabila final exam bakal menjelma
Study week juga turut tiba
Akan ku manfaatkan peluang yang ada
Mengisi semangat yang hilang dari jiwa

Balik rumah bukan sebarang balik.. balik beserta hajat di hati..
Meleraikan segala kekusutan.. melepaskan segala apa yang terpendam.. mengisi semula semangat diri yang hampir nyawa-nyawa ikan.. yang paling penting melepaskan kerinduan yang semakin hari semakin menebal pada mak dan ayah.. berkongsi suka duka kehidupan yang tidak sempat ku khabarkan kepada mereka kerana tiada rahsia antara diriku dan mereka.. sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara, baik ataupun buruk semuanya dalam pengetahuan mereka.. walau apapun diriku pasti DIA lebih mengetahui segalanya.

-Semoga diriku menemui ketenangan yang dicari dan keberkatan yang diharapkan-

Kerinduan semakin bercambah apabila mendengar lagu ibu yang disarankan oleh seorang hawa kepada diriku.. Jom kita dengar sama-sama..


***************************************************

Buat sahabat-sahabat yang bakal bertarung bersama diriku untuk menghadapi 'dia' yang telah aku perkatakan sebentar tadi.. renungkanlah bait-bait kata berikut..

Jika kita fikir kita boleh.. kita pasti boleh melakukan yang terbaik.. Insya-Allah

-Semoga kejayaan bersama kita-
Usaha-Doa-Tawakal

" Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertawakkal kepada-Nya."
( Ali Imran:159 )

Tuesday, April 5, 2011

..Kata Mutiara.. JIKA

Jika derita akan menjadi masa lalu pada akhirnya, mengapa mesti dijalani dengan sepedih rasa,
sedang ketegaran akan lebih indah dikenang nanti.

Jika kesedihan akan menjadi masa lalu pada akhirnya, mengapa tidak dinikmati saja,
sedang ratap tangis tidak akan mengubah apa-apa.

Jika luka dan kecewa akan menjadi masa lalu pada akhirnya, mengapa mesti dibiarkan meracuni jiwa,
sedang kesabaran dan ketabahan adalah lebih utama.

Jika kemarahan dan kebencian akan menjadi masa lalu pada akhirnya, mengapa mesti dilempias sepuas hati,
sedang menahan diri adalah lebih baik.

Jika kesalahan menjadi masa lalu pada akhirnya, mengapa mesti tenggelam di dalamnya,
sedang taubat itu lebih utama.

Jika hidup akan menjadi masa lalu pada akhirnya, mengapa mesti disia-siakan,
sedang peluang kebaikan sentiasa terbuka.

-dinukilkan dari sumber asal-

Saturday, April 2, 2011

Ikhtilat, Ikhwah, Akhawat

Ikhtilat merupakan suatu bentuk pergaulan secara bebas yang melibatkan lelaki dan perempuan yang ajnabi. Ia merupakan suatu bentuk pergaulan yang ditegah oleh Islam. Sesungguhnya mengambil mudah persoalan ikhtilat boleh membuka ruang maksiat yang berleluasa dalam masyarakat tanpa kita sedari.

Tambahan kemajuan era teknologi sekarang, ikhtilat bukan sahaja melibatkan perjumpaan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi malah dengan kemudahan yang ada seperti Yahoo Messenger, SMS, e-mail, dan Friendster. Jarak yang jauh didekatkan, masa yang berbeza tidak menjadi masalah begitu juga dengan kos perhubungan. Budaya ini terus menjadi darah daging masyarakat kita terutama remaja-remaja.



Kadang kala perhubungan dimulakan atas dasar kerja tetapi akhirnya melarat kepada perkongsian peribadi bukan perkongsian kepakaran. Maka tenggelamlah konsep 'kerja adalah kerja, peribadi adalah peribadi'. Kononnya hendak memahami dan mewujudkan keserasian dalam bekerja. Seolah-olah kita mencari keredhaan manusia dalam kemurkaan Allah.

Apabila wujud golongan yang menegah dan menunjukkan kaedah muamalat yang selari dengan syariat Islam maka timbullah konsep SYADID. Sememangnya Islam itu mudah dan tidak membebankan tapi tidak bermakna kita layak untuk mempermudah-mudahkan syariat Islam.

Adakah salah seorang nisa' dan rijal menjaga maruah dan pergaulannya. Bercakap, berurusan, berjumpa dan berbincang atas keperluan? Adakah salah bagi seorang nisa' terutamanya menegaskan suaranya dan menjaga pandangan demi menjaga maruah dirinya.


 

Dalam Al-Quran ada menyebut: "Katakanlah kepada lelaki-lelaki dari orang-orang beriman supaya menahan pandangan mereka serta menjaga kehormatan mereka dan katakanlah kepada perempuan-perempuan dari orang-orang yang beriman supaya menahan penglihatan mereka serta menjaga kehormatan mereka." (An-Nur:31)

 
Apabila rijal dan nisa' berjumpa tidak kira atas apa jua keperluan dan keadaan perlulah berteman bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW: "Tiada akan menyendiri seorang lelaki dan seorang perempuan itu melainkan syaitan akan menjadi orang yang ketiga."

Ada yang menimbulkan alasan malas menyusahkan rakan untuk menemankan kita. Malas nak tunggu rakan. Malas itu malas ini. Besar sangatkah malas kita berbanding arahan Allah dalam Al-Quran? Tegarkah kita melawan syariatNya.

Syariat Islam turut menyarankan kepada kita untuk menundukkan pandangan. Bukan sahaja haram melihat aurat bukan muhrim malahan bahagian-bahagian bukan aurat turut dilarang. Sabda Rasulullah SAW: "Wahai Ali janganlah pandangan (yang kedua) menuruti pandangan (yang pertama) kerana sesungguhnya pandangan pertama itu adalah bagimu sedang yang kedua tidak (berdosa)."

Kalau dah bergaul dan bercampur bebas masakan kita mampu menahan dan menjaga pandangan. Usah menegakkan benang yang sememangnya basah. Ana bukanlah nak menghukum tanpa memberikan jalan penyelesaian. Jom kita berkongsi tip-tip berurusan dengan bukan muhrim:

1.
Elakkan berhubungan dengan lelaki. Kalau ada peluang untuk minta bantuan dari nisa' (bagi nisa') dan rijal (bagi rijal), mintalah tolong mereka. Lainlah benda-benda di luar kudrat kita contohnya apabila nisa' minta bantuan rijal soal baiki latop, kereta dan perkara-perkara yang tak mampu dilakukan nisa'. Silalah mempergunakan kemahiran dan kepakaran yang ada. Begitu jugalah sebaliknya bagi rijal.

2.
Andai terpaksa berhubung dengan bukan muhrim gunakanlah perantaraan berbentuk tulisan seperti sms, nota kecil dan sebagainya. Ringkaskan dan padatkan ayat-ayat. Tak perlulah meletakkan ikon senyum yang sememangnya comel. Tak perlu disertakan dengan gelak ketawa seperti huhu, haha, hihi, hikhik. Seolah –olah kanak-kanak tadika mengajar mengeja. Apatah lagi benda-benda lain yang kurang berfaedah.

Andai terdesak sangat untuk bercakap melalui telefon, jagalah suara anda terutama nisa' selari dengan tuntutan Al-Quran: "Wahai isteri2 nabi, kamu bukanlah seperti perempuan-perempuan lain jika kamu bertaqwa. Maka janganlah lemah lembutkan suara dalam berbicara, sehingga bangkit nafsu org yang ada penyakit dlm hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan yg baik." Takkanlah nak tunggu Allah menempelak kita dengan balaNya?


3. Tundukkan hati. Sepatutnya apabila kita berurusan dengan bukan muhrim kita perlu risaukan kemurkaanNya. Banyak-banyaklah berdoa semoga urusan dipermudahkan dan bebas daripada fitnah. Minta dariNya supaya dipelihara daripada panahan syaitan.

4. Tundukan pandangan. Jangan tertipu dgn matapelajaran kaedah berkomunikasi yang kita belajar "make eye contact with the person you're talking to". Melainkan dengan kaum sejenis. Teramatlah disarankan demi membina ukhwah yang kukuh. Berwaspada dengan konsep "dari mata turun ke hati". Tak bermakna tundukan pandangan sehingga jalan terlanggar tiang.

5.
Mempercepatkan urusan. Apabila ada urusan, segerakanlah kerja. Tak perlulah sampai hendak berkongsi hal peribadi, luahan hati, gelak ketawa dan sebagainya yang tidak penting. Berbincanglah di tempat yang sesuai dan segerakan urusan. Jangan lupa peneman anda.

 "Lalu apa yang telah aku lakukan selama ini...Ya Rabb...tolong ampuni aku...untuk setiap pandangan yang tak terjaga, lisan yang merayu dan hati yang tak terhijab... Ya Rabb...Engkau mengawasi kami tiap detik, karena kasih sayangMu kepada kami Engkau perintahkan malaikat silih berganti menemani kami siang dan malam..."

Semoga ia menjadi peringatan bagi kita. Semoga kita dapat mewujudkan biah solehah dalam keredhaanNya. Peringatan untuk diri yang lemah dan banyak kesilapan serta kekurangan dan sahabat-sahabat Islam yang dikasihi.

*Elakkanlah berhubung tanpa urusan yang benar-benar penting dengan wanita-wanita (berlawanan jantina) kerana di situlah letaknya jalan SYAITAN.

Artikel ini diambil dari WWW.ILUVISLAM.COM. Untuk keterangan lebih layari http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=929

-Peringatan untuk diri ini yang sememangnya lemah dan tidak lepas daripada melakukan kesilapan-